Sejarah Surau

Taman Sekamat mula di duduki pada pertengahan tahun 1979. Atas muafakat beberapa penghuni taman yang baru berkenalan, sebagai mematuhi tuntutan agama, langkah awal menyediakan tempat solat berjemaah bagi penduduknya telah diambil dengan menggunakan site – office pemaju (UDABINA) yang luasnya 10’ x 12’.

Beberapa bulan kemudian didapati jumlah penduduk terus bertambah termasuk penyewa. Memandangkan keadaan ini, jawatankuasa surau sementara dibentuk bagi mengutip derma untuk membina sebuah surau yang munasabah keluasannya untuk menampung keperluan yang agak mendesak.

Tapak surau yang dipersetujui ialah kawasan permainan yang berhampiran. Tapak ini dipilih dan bersesuaian memandangkan lokasinya di tengah – tengah taman, manakala tapak yang disediakan pemaju adalah yang berhampiran dengan kubur yang terletak di pinggiran taman.

Seorang tukang rumah mahir dari Kampung Sungai Raya Batu 9, Cheras iaitu (A’ham) Raminus diberi tawaran membina surau ini dengan kos RM 8,000. Beliau sempat menyiapkan binaan ini seminggu sebelum Ramadhan, iaitu di akhir Jun 1980. Alhamdulillah, buat pertama kalinya Taman Sekamat mempunyai surau sendiri yang berukuran 20’ x 40’. Pada ketika itu rumah – rumah yang berjiran dengan Taman Sekamat hanya beberapa buah sahaja. Namun penduduknya turut hadir bagi mengimarahkan surau ini.

Keluasan surau yang dibina pertama kali itu ternyata tidak dapat juga menampung jemaah yang semakin bertambah kerana rumah – rumah di Taman Sekamat telah hampir dipenuhi semuanya, manakala rumah disekeliling sudah bertambah pula.

Dalam tahun 1983, surau diperbesarkan lagi bagi menampung pertambahan ahli jemaah. Kira – kira dalam masa yang sama Persatuan Penduduk Taman Sekamat diluluskan pendaftarannya. Justeru, urusan kutipan derma dapat dipergiatkan dan lebih teratur. Tidak sukar bagi  Jawatankuasa Surau mendapat sumbangan ketika itu, diaduni dengan kesedaran penduduk, maka kos binaan tambahan ditampung secara dalaman.

Sementara itu site – office UDABINA (bekassuraudahulu) diambilalih dan dijadikan tadika serta diperbesarkan oleh pihak ABIM di bawah kelolaan Dr. Abdul Rahman Kurais yang juga pengerusi surau ketika itu, iaitu dalam tahun 1993. Tadika ABIM sentiasa menggunakan surau untuk melatih murid bersolat serta turut mendirikan solat apabila masuk waktu bersama ahli jemaah yang lain. Dengan sambutan yang menggalakkan daripada ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Tadika ABIM ini maka surau diperbesarkan lagi untuk menampung ruang belajar murid Tadika ABIM itu.

Walau bagaimanapun, setelah bangunan rumah kedai di Jalan 9 siap, pihak ABIM memindahkan kelasnya kebangunan baru itu manakala sekolah di tempat bekas site – office UDABINA terus digunakan hingga bangunan surau dirobohkan bersama sekolahnya.

Perlu ditekankan bahawa dengan penglibatan aktif pewakaf – pewakaf, surau telah dapat membangun dari tahap ketahap seperti yang disaksikan. Setinggi – tinggi penghargaan dirakamkan terhadap pewakaf – pewakaf yang mana tidak sedikit sumbangan yang diperolehi daripada mereka. Sebagaicontoh, ruang di sayap kanan surau dibina dalam tahun 1995. Ruang ini telah dimanfaatkan untuk pelbagai acara dan kegunaan. Tempat ambil wuduk di bahagian luar surau dibina atas sumbangan wakaf oleh ahli jemaah pada awal tahun 2000. Pembinaan mimbar membaca khutbah dibuat atas usahawakaf.

Dua tahun kebelakangan ini surau dilengkapkan dengan alat hawa dingin atas usaha wakaf. Beberapa pembaikan dan pemulihan dilakukan dengan sumbangan wakaf. Pendek kata, tidak sedikit sumbangan yang kita terima daripada pewakaf – pewakaf sama ada dalam bentuk bahan binaan mahu pun mata – benda dan wang ringgit. Tidak dilupakan juga tenaga mahir dan gotong – royong yang disumbangkan oleh para jemaah sendiri. Kepada Allah diserahkan untuk mengurniakan ganjaran selayaknya keatas mereka yang budiman ini.

Pembinaan surau baru yang bermulapada 17 Nov 2014 adalah tepat pada masanya bagi menampung pertambahan ahli jemaah. Surau yang sedia ada terdapat banyak yang lapuk dimakan anai – anai, kebocoran dan sebagainya. Keadaan ini juga mengimbau anasir – anasir yang tidak diingini memecah masuk dan mengambil harta surau.

Selain daripada penduduk Taman Sekamat, surau ini turut diimarahkan oleh penduduk – penduduk di sekitar serta taman – taman perumahan baru muncul. Dengan penglibatan yang aktif ini maka pentadbiran surau berubah corak dan ditadbirkan oleh ahli –  ahli kariah Surau Taman Sekamat dengan mematuhi peraturan Jabatan Agama Islam Selangor dibawah Kaedah – Kaedah Pegawai Masjid Dan Jawatankuasa kariah ( Negeri Selangor ) 1995 dan pindaannya selepasitu.