Author Archives: admin

::. Perutusan Pengerusi Surau Al-Furqan

pengerusi

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Segala puji- pujian dipersembahkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga dan sahabat Baginda seluruhnya.

Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kerana diberi peluang, ruang dan kesempatan untuk saya menukilkan sepatah dua kata di laman Surau Al-Furqan ini.

Alhamdulillah, dalam tempoh 3 tahun saya menerajui AJK Surau AL-Furqan ini, berkat sokongan dari semua AJK dan para jemaah semua, beberapa aktiviti telah dapat dijalankan dengan jayanya. Diantaranya adalah pembinaan Tadika Islam Al-Furqan, pengaturan semula jadual kuliah di Surau kita, mengindahkan landskap , menaik taraf infrastruktur surau, penganjuran program-program kemasyarakatan kepada ahli kariah Taman Sekamat dan perlaksanaan solat jumaat yang telah djalankan pada 27 September 2019.  Semua aktiviti di atas pasti tidak akan dapat dijalankan tanpa sokongan penuh dari para AJK yang komited serta pernglibatan para jemaah surau Al-Furqan.

Alhamdulillah, tempoh penggal amanah sebagai pengerusi Surau Al-Furqan yang telah diberikan kepada saya sudah sampai ke penghujungnya pada akhir tahun ini.  InsyaAllah, Surau Al-Furqan akan mengadakan mensyuarat pemilihan ahli jawatankuasa yang baru pada 6 Oktober 2019 nanti.  Saya menyeru kepada semua ahli kariah agar dapat hadir pada beramai-ramai ke mesyuarat agung ini nanti.  Surau kita memerlukan satu saf kepimpinan yang baik bagi meneruskan kecemerlangan pentadbiran surau pada masa-masa akan datang melalui kepimpinan yang baru.

Seperti yang telah saya war-warkan pada peringkat awal bahawa surau ini tidak hanya terbatas kepada ibadat khusus sahaja, seperti ibadat solat, sebaliknya, konsep dan falsafah rumah Allah yang telah ditunjukkan dan dipraktikkan oleh sirah Rasulullah SAW, merangkumi semua aspek kehidupan termasuk perhubungan di antara manusia dengan Allah dan antara manusia sesama manusia harus juga dipraktikkan di Surau kita ini.

Saya menyeru kepada semua jemaah agar sama-sama dengan AJK yang baru bakal dilantik nanti untuk terus menyumbang buah fikiran bagi membangunkankan surau yang kita sayangi ini serta bersama-sama melibatkan diri dan memberi sokongan ke atas sebarang aktiviti yang dijalankan. Sama-samalah kita bersatu hati dan mengeratkan ukhuwah sesama kita demi untuk mendapatkan keredhaan Allah serta rahmat daripadaNya.  Mudah-mudahan segala sumbangan kita diterima Allah dan menjadikan ia saham berterusan untuk kita nikmati apabila kita meninggalkan alam fana ini.

Sekian dan Terima kasih.

HJ MD HASIM SANI

Pengerusi Surau AlFurqan, Taman Sekamat, Kajang

Sesi 2017-2019